Bagi si bayi, sentuhan ibu memberi makna yang mendalam pada mindanya. Melalui wajah riang ibu, mereka juga dapat mewarnai kehidupan.
Terdapat empat tanda jalinan kasih sayang yang sering dilihat pada bayi yang mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu. Ia boleh dilihat mengikut peringkat umur.
Pada umur sebulan, bayi mula tersenyum, dua bulan kemudian mereka mula bersuara, usia empat bulan mereka cuba mencapai ibunya, menatap mata si ibu lebih lama dan gelak ketawa.
Kenali empat tanda jalinan kasih sayang iaitu:
Bayi lebih kerap tersenyum
Menyentuh bayi anda boleh membuatnya tersenyum dengan lebih kerap, yang membuktikan keeratan anda berdua.
Ketika bayi sedang membesar, dia akan mengukir senyuman setiap kali anda berada di sampingnya atau ketika dia menjangka kehadiran anda. Senyuman-senyuman ini menandakan bahawa dia berasa selamat dan bersedia mempelajari tentang dunia di sekelilingnya.
Bayi cuba mencapai ibunya
Apabila bayi cuba mencapai si ibu, bayi mahu memberitahu bahawa ibu supaya memeluk, membelai dan merapatinya. Ia juga membawa maksud bayi gembira dengan kehadiran ibunya.
Tindak balas positif anda tiap kali si manja mencapai ke arah anda akan membantu bayi lebih sedar pergerakannya dan akan membuat pergerakan yang bermakna.
Bayi bergelak ketawa
Bayi ketawa untuk menunjukkan perasaannya. Selain menunjukkan rasa teruja dan gembira, gelak pertama bayi menandakan perkembangan sosialnya. Ini merupakan satu tindak balas yang berlaku apabila dia berkongsi dunianya dengan orang tersayang.
Apabila bayi gelak, ia menunjukkan salah satu cara untuk bertindak balas dengan anda dan ingin memberitahu anda betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.
Dengan berbunyi-bunyi manja sewaktu kehadiran anda, bayi menunjukkan bahawa mereka mengenali si ibu dan sedang berhubung dengan anda.
Bunyi-bunyi tersebut menandakan kegembiraannya dan juga sebagai tindak balas kasih sayang, sentuhan dan perhatian yang anda berikan.
Bayi menatap mata
Bayi juga menggunakan isyarat mata untuk berhubung. Apabila bayi menatap mata anda, satu mesej berbaur kasih sayang sedang mengalir antara bayi kepada anda.
Ia merupakan salah satu kebolehan bayi yang dapat dikenal pasti. Pada hari-hari awalnya, bayi akan memberi sepenuh perhatian kepada anda dan lirikan matanya akan mengekori anda apabila anda hampir dengannya.
Bagi si manja, melihat wajah ibu mampu menenangkan dirinya. Adakalanya si manja seolah-olah sedang menenung anda. Mengapa? Bayi sedang cuba mengingat wajah anda dan mengenal pasti sebuah kasih sayang dan keselesaan.
Wednesday, July 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment