Friday, July 17, 2009

NASIHAT LUKMANUL HAKIM


"Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk dinasihati, maka dirinya akan mendapat perlindungan daripada ALLAH. orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat daripada orang lain, dia akan menerima kemuliaan daripada ALLAH."

Surah Penawar

Surah Al-Kautsar

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s..w.t. makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher,Insya'Allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5) Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

Berkawanlah Dengan "Penjual Minyak Wangi".

KAWAN mempunyai pengaruh cukup besar dalam pembentukan nilai dan perwatakan diri. Malah, kesannya boleh jadi berpanjangan, dari zaman remaja hingga ke alam dewasa.

Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.


Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit.

Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan?

Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati?

Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.

Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)

Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.

Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri.

Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri.

"Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67)

Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.

"Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)

Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."

Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.

Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.

Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga.

Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.

Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.

Tuesday, July 14, 2009

Solat Dan Lima Jenis Manusia

SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.

Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: "Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya." (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.

Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama

Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua

Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga

Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.

Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat

Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima

Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.

Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi'raj.

Wednesday, July 8, 2009

Fakta Tidur

Pernahkah anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberi tumpuan pada kerja atau pelajaran, merasakan otak ‘lebih lembap’ dan lambat berfikir berbanding dulu?

Mungkin ada yang berpendapat ia disebabkan peningkatan usia. Mungkin pendapat itu benar tetapi kajian menunjukkan masalah sukar menumpukan perhatian dan ‘kelembapan’ otak ini mempunyai kaitan dengan kekurangan tidur.

Keperluan tidur setiap orang berbeza-beza tetapi secara puratanya kita memerlukan tujuh jam tidur yang lena bagi membolehkan badan berfungsi dengan baik pada keesokan harinya.

Tidur yang cukup bukan setakat merehatkan badan atau mengelakkan masalah mata cengkung tetapi ia mempunyai manfaat yang lebih penting. Tidur adalah satu keperluan dan ketika inilah badan akan memperbaiki kerosakan yang berlaku pada sel serta membina sel baru.

Malah, ketika tidur, otak kita sibuk membuat persediaan untuk menghadapi keesokan harinya. Kajian ke atas haiwan dan manusia mendapati tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan membantu memelihara daya ingatan seseorang.

Dalam satu kajian, responden disuruh bermain piano mengikut nada tertentu. Kumpulan yang dilatih pada waktu pagi dan diuji 12 jam kemudiannya tidak menunjukkan perubahan yang ketara. Tetapi kumpulan ini menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 20 peratus selepas mendapat tidur yang cukup.

Kumpulan kedua yang dilatih pada waktu petang juga menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 20 peratus selepas tidur pada waktu malam. Namun, ujian selepas 12 jam berjaga mendapati prestasi responden tidak berubah atau tiada peningkatan. Ini menunjukkan tidur memainkan peranan penting dalam kebolehan belajar.

Apa sebenarnya yang berlaku ketika tidur masih belum dapat diterangkan dengan terperinci tetapi penyelidik percaya tidur membolehkan otak memproses semula perkara yang baru dipelajari supaya ingatan itu kekal.

Kajian selanjutnya mendapati tidur sekejap pada tengah hari juga dikatakan memberi manfaat terhadap kemampuan untuk belajar. Ujian ingatan terhadap responden yang diberikan empat kursus secara terus menerus menunjukkan keputusan yang agak ‘buruk’.

Bagaimanapun, daya ingatan mereka jauh lebih baik apabila diberikan rehat (tidur selama setengah jam) selepas dua kursus. Keputusan ini mencadangkan jika seseorang itu mendapat cukup rehat (fizikal dan mental) mereka mampu mempamerkan prestasi kerja atau pembelajaran yang lebih memberangsangkan.

Ini kerana selepas bangun daripada tidur, otak lebih segar dan boleh berfikir dengan cepat dan tepat. Tidur yang mencukupi juga dapat mengurangkan tekanan dan keresahan yang secara tidak langsung boleh menjejaskan kemampuan belajar.

Mungkin inilah sebabnya mengapa bayi, kanak-kanak dan remaja memerlukan lebih banyak tidur berbanding orang dewasa. Malah, kajian berkenaan juga menjelaskan mengapa golongan yang amat muda ini mudah menerima dan belajar perkara baru dalam hidup mereka.

Malah, tidur juga dianggap amat penting untuk proses pemulihan terhadap kecederaan otak termasuklah pada pesakit strok kerana mereka perlu belajar semula untuk menguasai bahasa dan rutin harian.

Ada penyelidik menyarankan supaya kita tidur apabila berasa mengantuk. Namun, ramai yang ‘mengabaikan’ keperluan badan ini dan berusaha melawan rasa mengantuk sehinggalah tiba waktu untuk tidur. Ada juga yang masuk tidur terlalu awal tetapi tidak dapat melelapkan mata walaupun persekitaran bilik tidur sangat menyenangkan.

Bagi individu yang bekerja syif juga boleh mendapat manfaat daripada tidur walaupun waktu tidur mereka berubah-ubah. Apa yang penting ialah mereka mesti mendapat tidur cukup dan baik (lena).

Tuntutan dan tekanan tugas membuatkan ramai antara kita yang mengalami masalah kekurangan tidur. Bahkan tidak kurang yang kerap terjaga pada waktu malam dan sukar untuk melelapkan mata semula.

Akibatnya kita mudah letih, mengantuk dan hilang daya tumpuan jika perkara ini berlanjutan. Malah, lebih buruk kekurangan tidur boleh menyebabkan seseorang mudah tertekan dan mengalami gangguan emosi.

Justeru, setiap kali anda menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian, kajilah semula gaya hidup anda. Kekurangan tidur, tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan kurang bersenam semuanya memberi pengaruh besar dalam menentukan kualiti hidup kita seharian.

Kenali Empat Tanda KAsih Sayang

Bagi si bayi, sentuhan ibu memberi makna yang mendalam pada mindanya. Melalui wajah riang ibu, mereka juga dapat mewarnai kehidupan.

Terdapat empat tanda jalinan kasih sayang yang sering dilihat pada bayi yang mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu. Ia boleh dilihat mengikut peringkat umur.

Pada umur sebulan, bayi mula tersenyum, dua bulan kemudian mereka mula bersuara, usia empat bulan mereka cuba mencapai ibunya, menatap mata si ibu lebih lama dan gelak ketawa.

Kenali empat tanda jalinan kasih sayang iaitu:

Bayi lebih kerap tersenyum

Menyentuh bayi anda boleh membuatnya tersenyum dengan lebih kerap, yang membuktikan keeratan anda berdua.

Ketika bayi sedang membesar, dia akan mengukir senyuman setiap kali anda berada di sampingnya atau ketika dia menjangka kehadiran anda. Senyuman-senyuman ini menandakan bahawa dia berasa selamat dan bersedia mempelajari tentang dunia di sekelilingnya.

Bayi cuba mencapai ibunya

Apabila bayi cuba mencapai si ibu, bayi mahu memberitahu bahawa ibu supaya memeluk, membelai dan merapatinya. Ia juga membawa maksud bayi gembira dengan kehadiran ibunya.

Tindak balas positif anda tiap kali si manja mencapai ke arah anda akan membantu bayi lebih sedar pergerakannya dan akan membuat pergerakan yang bermakna.

Bayi bergelak ketawa

Bayi ketawa untuk menunjukkan perasaannya. Selain menunjukkan rasa teruja dan gembira, gelak pertama bayi menandakan perkembangan sosialnya. Ini merupakan satu tindak balas yang berlaku apabila dia berkongsi dunianya dengan orang tersayang.

Apabila bayi gelak, ia menunjukkan salah satu cara untuk bertindak balas dengan anda dan ingin memberitahu anda betapa seronoknya dia meluangkan masa dengan anda.

Dengan berbunyi-bunyi manja sewaktu kehadiran anda, bayi menunjukkan bahawa mereka mengenali si ibu dan sedang berhubung dengan anda.

Bunyi-bunyi tersebut menandakan kegembiraannya dan juga sebagai tindak balas kasih sayang, sentuhan dan perhatian yang anda berikan.

Bayi menatap mata

Bayi juga menggunakan isyarat mata untuk berhubung. Apabila bayi menatap mata anda, satu mesej berbaur kasih sayang sedang mengalir antara bayi kepada anda.

Ia merupakan salah satu kebolehan bayi yang dapat dikenal pasti. Pada hari-hari awalnya, bayi akan memberi sepenuh perhatian kepada anda dan lirikan matanya akan mengekori anda apabila anda hampir dengannya.

Bagi si manja, melihat wajah ibu mampu menenangkan dirinya. Adakalanya si manja seolah-olah sedang menenung anda. Mengapa? Bayi sedang cuba mengingat wajah anda dan mengenal pasti sebuah kasih sayang dan keselesaan.

Monday, July 6, 2009

Balasan Syurga Jika Silaturrahim Semarak

SILATURAHIM memberi pengaruh besar dalam kehidupan. Rugilah orang tidak menjaga hubungan itu, terutama di kalangan mereka yang paling hampir, seperti ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

Jiran misalnya bukan saja golongan yang paling hampir dengan kita apatah lagi jika kita hidup sebatang kara, bahkan jiran adalah orang paling layak menegur dan memberi nasihat.


Rasulullah s.a.w menjelaskan mengenai ancaman orang yang menyebabkan jiran tetangganya tidak aman tenteram melalui sabda baginda bermaksud:

"Tidak akan masuk syurga seorang yang jiran tetangganya tidak aman daripada kejahatannya." (Riwayat Muslim)

Silaturahim yang dipupuk dari diri sendiri, membawa kepada ikatan kekeluargaan seterusnya diamalkan dalam hidup bermasyarakat mempunyai banyak kebaikan di dunia dan akhirat.

Pernah diriwayatkan, mengenai rumah yang tidak dimasuki syaitan. Antara rumah yang dibenci oleh syaitan ialah rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturahim, menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya.

Selain itu, rumah yang penghuninya terdiri dari pasangan soleh dan solehah serta saling faham memahami dan bertolak ansur, malah suka memaafkan orang lain serta rumah yang sentiasa dipenuhi dengan ucapan salam dan meminta izin.

Rumah sebegini yang dipenuhi dengan amalan mulia, akan memupuk ikatan silaturahim berpanjangan.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum diisrakkan..."

Antara mimpi Rasullullah itu ialah baginda melihat seorang dari umatnya didatangi oleh malaikat maut dengan keadaan yang amat menggerunkan untuk mengambil nyawanya. Namun, perbuatan malaikat itu terhalang oleh ketaatan dan kepatuhan umat terbabit kepada kedua ibu bapanya.

Baginda juga bermimpi umatnya cuba untuk berbicara dengan golongan mukmin tetapi mereka tidak membalas bicaranya. Namun, sifat silaturahim dan tidak suka bermusuh-musuhan umat itu menyebabkan golongan mukmin itu menyambut, malah membalas bicaranya.

Untuk menjalinkan silaturahim bukanlah sukar, apatah lagi dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi perhubungan terkini yang membolehkan silaturahim dijalin lebih erat, lebih mantap dan kukuh.

Penggunaan telefon bimbit, emel, sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya banyak membantu untuk bertanya khabar dan mengekalkan silaturahim sesama kita.

Bukan itu sahaja, jarak perjalanan untuk mengunjungi ibu bapa dan sanak saudara boleh dipendekkan dengan sistem pengangkutan yang baik seperti kapal terbang, komuter, LRT dan kereta.

Malah, sistem jalan raya juga bertambah baik dengan pembinaan lebuh raya yang mampu memendekkan masa dan tenaga. Bukankah zaman serba moden seperti ini sepatutnya mengeratkan lagi silaturrahim yang sedia wujud?

Apa yang penting keinginan untuk bersilaturahim diwujudkan oleh sifat diri manusia yang tidak sombong, suka bersedekah, ikhlas dalam setiap perkara, saling kunjung mengunjungi terutama apabila ada kematian, majlis perkahwinan atau ketika sanak saudara dilanda musibah.

Apabila silaturahim antara keluarga dan masyarakat dijaga dengan baik dan utuh, negara juga akan menerima tempiasnya.

Tempias yang baik itu merangkumi ikatan silaturahim yang membentuk pengukuhan dari aspek ekonomi, politik, agama dan sosial.

Ikatan silaturrahim tidak terhenti setakat itu sahaja, malah berlangsung sehingga ke akhir hayat sehingga menjadi perhitungan di akhirat kelak.

Friday, July 3, 2009

Hati Yang Bersih


Pandangan mata selalu menipu

Pandangan akal selalu tersalah

Pandangan nafsu selalu melulu

Pandangan hati itu yang hakiki

Kalau hati itu bersih

Hati kalau terlalu bersih

pandangannya akan menembus hijab

hati jika sudah bersih

firasatnya tepat kehendak Allah

Tapi hati jika dikotori

Bisikannya bukan lagi kebenaran

Tapi hati jika dikotori

Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya PANDANGAN ALLAH

Jasad lahir tumpuan manusia

Hati tempat jatuhnya PANDANGAN ALLAH

Jasad lahir tumpuan manusia

UTAMAKANLAH PANDANGAN ALLAH

Daripada pandangan manusia

UTAMAKANLAH PANDANGAN ALLAH

Daripada pandangan manusia

Dugaan Makhluk yang Diciptakan...


hidup ini umpama buih di lautan.. terkadang hanyut ke muara..dan adakalanya terdampar di persisiran.. begitulah simbolik suatu kehidupan..

hakikatnya.. terlalu banyak dugaan yang mungkin di tempuhi.. terlalu banyak pancaroba yang sukar di tangani.. dan di saat indahnya senario malam.. membuai lamunan setiap makluk yang diciptakan dan di saat redupnya fajar mentari.. menghayalkan si makhluk yang rakus dengan hiasan duniawi
maka... sedarlah wahai makhluk yang diciptakan. lamunan itu akan pastinya berhenti.. berhenti pada suatu saat yang telah dijanjikan..
takkan terawal sedetik pun bahkan takkan terlewat sesaat pun.. itulah janji dari tuhan yang maha pencipta.. dan disaat itu tiada lagi amal kecuali mati.. tiada lagi taubat nasuha kecuali neraka.. tetapi tiada lagi yang lebih bahagia kecuali syurga..baginya tempat cuma yang senantiasa bertakwa ...

Tentang “Dia” 4

Sebulan telah berlalu, Alhamdulillah pelbagai dugaan dan rintangan telah dapat Dia lalui. Hari demi hari Dia makin sibuk melakukan tugas harian. Ada kisah baru dalam hidup Dia, Dia diminati oleh seorang guru praktikal iaitu Mr. S, kebetulan pula Dia suka melihat senyuman Mr. S. Walaupun Mr. S tidak berterus terang namun Dia sedar yang Mr.S suka padanya. Selagi Mr. S tidak berterus-terang selama itulah Dia akan mendiamkan sahaja. Takkan perigi pula mencari timba. Memang tidak dinafikan Dia juga mempunyai perasaan ingin mencintai dan juga dicintai. Tetapi apa yang di harapkan semuanya hancur apabila Dia mengetahui yang Mr. S merupakan tunangan org. Jadi apa niat sebenar Mr. S yang selama ini sibuk mengambil berat tentang Dia. Dia berasa sangat kecewa dan Dia berjanji pada dirinya bahawa Dia tidak akan mudah lagi terpedaya. Hari ini ada pelanggan yang pelik sikit perangainya, bukan lah pelik apa cuma pelanngan sangat lah ceria ketawa je kejenya. Dia tak tau apa namanya Cuma dia dgr kawannya memanggil ustaz. Dia melihat sahaja gelagat ustaz tersebut memilih pembalut hadiah, kebetulan tarikh tersebut ialah 14 february, Dia pun pelik aik takkan lah ustaz sambut valentine day rupenye birthday kekasih dia sama dengan hari valentine.....

Thursday, July 2, 2009

Air Kosong Penawar Pelbagai Penyakit

Kajian para saintis mendapati amalan minum air sebaik bangun dari tidur setiap pagi mempunyai banyak manfaat.

Japanese Medical Society misalnya berjaya membuktikan dalam kes-kes tertentu, amalan ini mampu memulihkan penyakit termasuk yang serius.

Diantara penyakit yang termasuk dalam penyelidikan persatuan perubatan di negara matahari terbit itu ialah sakit kepala, sakit-sakit badan, sistem jantung, artritis, degupan jantung yang pantas, epilepsi, lemak berlebihan, bronkitis, tibi, meningitis, buah pinggang dan jangkitan pada air kencing.

Bagaimanapun amalan minum air kosong sebaik jaga dari tidur ini perlu mengikut beberapa peraturan untuk memastikan keberkesanannya.

• Minum empat gelas air (160 ml) sebaik jaga dari tidur setiap pagi dan sebelum memberus gigi.
• Berus gigi dan bersihkan mulut tetapi jangan makan atau minum apa-apa untuk 45 minit.
• Selepas 45 minit anda boleh makan dan minum seperti biasa.
• Selepas 15 minit mengambil sarapan, makan tengahari dan makan malam jangan makan atau
minum untuk tempoh dua jam.
• Bagi pesakit yang lanjut usia dan tidak larat minum empat gelas air sekali gus diperingkat
permulaan, mereka boleh memulakan kaedah rawatan ini dengan meminum air secara
berperingkat sehingga mampu mencapai empat gelas sehari.
• Kaedah rawatan dipercayai mampu merawat pelbagai penyakit dalam tempoh tertentu.

1. Tekanan darah tinggi – 30 hari
2. Gastrik - 10 hari
3. Diabetes – 30 hari
4. Sembelit – 10 hari
5. Kanser – 180 hari
6. Tibi – 90 hari.

Pesakit artritis hanya perlu mengikuti rawatan tersebut untuk tiga hari. Rawatan ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan kecuali diperingkat awal pesakit mungkin kerap buang air kecil.

Dilema Orang Kidal

TINGGAL di dalam dunia orang kanan memang banyak cabaran kepada individu kidal. Ketika di sekolah, kerap tangannya diketuk guru kerana menulis menggunakan tangan kiri.

Seorang rakan sekelas yang juga kidal turut menerima nasib sama. Tidak mahu terus didenda, mereka belajar menulis dengan tangan kanan walaupun prosesnya payah.

Ini antara pengalaman dilalui Pengasas Persatuan Kidal Malaysia, Chong Siew Chin ketika kecil. Malah, dia juga kerap dimarah kerana dianggap individu yang kelam kabut, kerap menimbulkan masalah dan tidak cermat atau terlalu perlahan apabila melakukan sesuatu kerja.

Boleh dikatakan semua individu kidal mengalami masalah ini. Inilah perkara yang perlu ditempuhi kerana mereka hidup dalam dunia yang didominasi orang menggunakan tangan kanan.

Malah sejak zaman dulu lagi individu kidal sering diketepikan, dipandang hina dan banyak kepercayaan yang menafikan hak mereka.

Kepercayaan Cina kuno mentafsirkan kiri sebagai tidak baik, tidak sopan atau tidak boleh diterima langsung. Di kalangan penduduk Norway, hasil kerja individu kidal dikelaskan sebagai ‘kerja yang tidak sempurna’ dan perkataan ‘keivhendt’ atau kiri membawa maksud salah tangan.

Pada kebanyakan bahasa di Eropah, perkataan ‘kanan’ bukan saja bermakna ‘betul’ tetapi ia juga menandakan kecantikan, keadilan dan kekuasaan.

Malah mengikut sejarah, individu kanan dianggap mahir manakala individu kidal pula dilabel sebagai kelam kabut. Perkataan Latin ‘sinestra’ yang asalnya bermakna kiri juga membawa maksud ‘jahat dan tidak bernasib baik’.

Dalam dunia yang moden ini pun masih ada yang beranggapan menjadi individu kidal itu kurang elok tanpa sebab munasabah.

Secara purata 85 peratus penduduk dunia adalah individu kanan dan hanya 15 peratus kidal. Kajian mendapati lebih ramai lelaki yang kidal berbanding perempuan.

Menulis menggunakan tangan kiri bukan petunjuk utama yang menentukan seseorang itu kidal kerana individu kidal juga boleh menulis dengan tangan kanan. Individu kidal adalah orang yang lebih banyak menggunakan tangan kiri dalam kerja seharian. Malah, tangan kiri mereka lebih cekap dan kuat berbanding tangan kanan.

Apa menyebabkan seseorang itu lebih cenderung menggunakan tangan kanan atau kiri? Kecenderungan penggunaan tangan ditentukan oleh otak. Ada banyak teori mengenai perkara ini, tetapi secara umumnya ia ditentukan oleh otak seseorang.

Otak kita mengawal bahagian badan yang bertentangan; iaitu pergerakan bahagian badan belah kiri dikawal otak kanan dan sebaliknya. Kajian membuktikan, pada individu kidal, pergerakan tangan mereka lebih banyak dikawal otak kanan.

Kidal bukan disebabkan keturunan walaupun ada kajian mengatakan ia ada kaitan dengan genetik. Biasanya dalam sesebuah keluarga hanya ada seorang yang kidal. Bagaimanapun, kata Chong, ibu bapa kidal mempunyai kecenderungan lebih tinggi mempunyai anak kidal.

Ia mungkin tiada kaitan dengan genetik, tetapi pengaruh ibu bapa yang lebih banyak menggunakan tangan kiri dalam kehidupan seharian. Pun begitu, ia bergantung juga kepada kecenderungan setiap anak untuk menjadi individu kanan atau kidal.

“Mengapa individu kidal sering dilabel sebagai kelam kabut? Mungkin ramai tidak sedar, mereka sebenarnya menghadapi masalah menggunakan peralatan yang sememangnya direka untuk kegunaan tangan kanan.

“Contohnya gunting. Jika individu kidal menggunting kertas, kertas berkenaan keronyok dan guntingannya mungkin tidak sebaik menggunakan tangan kanan. Ini kerana mata pisau gunting itu diletakkan untuk kegunaan tangan kanan. Jika dipegang dengan tangan kiri, mata pisau akan terbalik dan kita tidak dapat melihat garisan yang hendak dipotong.

“Individu kidal juga biasanya ada masalah apabila menulis. Bukan saja kertas, malah tangan juga menjadi comot kerana apabila menulis, tangan individu kidal terkena pada tulisan. Masalah lebih teruk jika seseorang itu kuat berpeluh.

“Malah, pandangan terhadap apa yang ditulis juga terhalang oleh tangan. Masalah ini tidak dihadapi individu kanan kerana kita menulis dari kiri ke kanan dan tangan tidak terkena pada tulisan,” katanya.


Antara masalah lain yang dihadapi ialah apabila:

# Menggunakan pengasah pensil (kerana kedudukan mata pisau)

# Membuka pintu khususnya jika tombol pintu berbentuk tangkai

# Menggunakan alat pembuka tin dan botol

# Menggunakan pembaris

# Garpu yang ada mata pisau (garpu kecil biasanya digunakan untuk sajian manisan)

# Pisau kek (jenis lama yang ada pemotong pada belah kiri)

# Bagi individu berbangsa Cina, kayu penyepit (jika makan menggunakan tangan kiri) berlaga dengan kayu penyepit orang yang duduk di sebelah kiri.

“Memang ada banyak masalah lain, tetapi kami belajar untuk lebih banyak menggunakan tangan kanan dan peralatan yang kebanyakannya direka bagi kegunaan individu kanan. Ketika proses pembelajaran dan penyesuaian inilah individu kidal biasanya dianggap kelam kabut.

“Kajian menunjukkan sesetengah individu kidal ada masalah disleksia (menulis huruf terbalik). Boleh dikatakan semua individu kidal boleh menulis secara terbalik — bukan saja huruf pada arah yang salah, tetapi perkataan ditulis dari belakang. Ia dipanggil tulisan cermin kerana jika dilihat dari dalam cermin, perkataan ditulis kelihatan normal,” katanya.

Walaupun menghadapi beberapa masalah, individu kidal sebenarnya ada kelebihan apabila mereka terpaksa menggunakan tangan dalam banyak pekerjaan seharian. Malah, secara umumnya individu kidal ada kemahiran dan kecenderungan lebih tinggi dalam seni dan bahasa.

Namun ini bukan bermakna mereka lebih baik daripada individu kanan.

Ada ibu bapa yang keliru dan tidak tahu untuk mengajar anak kidal. Ada beberapa panduan boleh diikuti seperti:

# Jika mahu mengubah kecenderungan penggunaan tangan si kecil, lakukannya dari awal iaitu ketika mereka masih kecil (dua atau tiga tahun). Jangan paksa anak kidal menjadi ‘normal’ kerana ia hanya mendatangkan banyak masalah dan kekeliruan. Sebaliknya, cari kelebihan anak dan beri galakan kepadanya.

# Walaupun kecenderungan penggunaan tangan ini boleh dilihat ketika kanak-kanak berumur tiga tahun, ia lebih ketara apabila meningkat umur lima tahun. Jika anda mengesyaki anak kidal tetapi masih tidak pasti, anda boleh lakukan ujian mudah untuk mengetahuinya. Letak satu objek di atas lantai dan minta anak mengambil dan membalingnya semula. Letakkan sudu di sebelah pinggan makannya dan lihat tangan mana yang digunakan untuk memegang sudu berkenaan dan makan.

# Untuk menulis, kertas atau buku perlu disengetkan ke kanan dan pastikan pensil (atau pen) dipegang dengan betul pada jarak sesuai (tangan tidak terlalu rapat dengan mata pensil).

Tidak perlu risau jika anak anda kidal kerana ia tidak menjejaskan pembelajarannya. Malah, menurut Chong, kini ada banyak peralatan direka khusus untuk kemudahan individu kidal seperti gunting, pengasah pensil, pembaris, pemegang pensil, pembuka tin dan buku. Semua barangan ini boleh diperoleh dari Persatuan Kidal Malaysia. Untuk keterangan lanjut sila layari laman web www.geocities.com/leftiesmalaysia atau emel ke leftiesmalaysia@yahoo.com.

Limpahkanlah Kasih Sayang

DALAM sehari semalam kita kerap menyebut perkataan 'Bismillah'. Semua di antara kita sudah tahu apa maknanya, iaitu 'Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang'.

Begitulah makna ayat al-Quran yang paling popular. Begitulah juga hebatnya Allah mengasihi makhluk yang dicipta-Nya.


Malah, golongan yang mengingkari-Nya pun masih dibenarkan tinggal di bumi-Nya. Mereka yang derhaka kepada-Nya pun masih diberi kesempatan menghirup udara-Nya, bahkan kadangkala rezeki makin bertambah.

Walaupun begitu, sudah banyak kita mendapat nikmat daripada-Nya tetapi jarang memberikan waktu untuk menghitungnya jauh sekali untuk membalasnya.

Setiap hari rasanya kita tidak terlepas meluangkan masa untuk mengambil sarapan kerana menganggap ia sangat penting.

Tetapi kenapa kita tidak sempat menggunakan beberapa minit untuk bersama memikirkan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah, sebagai vitamin sebelum bekerja atau menunaikan tugas harian?

Cuba tanya hati sanubari kita, apakah nikmat yang sudah kita dapat sepanjang hari semalam?

Kita boleh tidur dengan nyenyak, rumah kita selamat daripada pencuri, anak ceria, kita sendiri bahagia dan sebagainya. Tetapi pernahkah kita rasakan itu adalah rahmat Allah atau dalam kata lain pernahkah kita bersyukur?

Itulah tandanya kasih sayang Allah dan selepas kita mendapat kasih sayang Allah pernahkah kita tebar dan sebarkan itu semua kepada makhluk Allah yang lain?

Sudahkah kita sayangi ibu bapa kita sebagaimana kasih sayang yang kita dapat daripada Allah itu? Kepada anak kita, teman dan rakan sejiran, teman dan rakan sepejabat kita, bagaimana?

Sebenarnya antara tugas kita di bumi ini untuk berkasih sayang tanpa memandang ras, warna kulit, bangsa dan agama, parti politik bahkan juga kepada binatang, tumbuhan dan alam sekitar.

Dalam satu hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Orang yang bersifat pengasih akan dikasihi Allah Yang Maha Pengasih. Hendaklah kamu mengasihi makhluk di bumi, nanti kamu akan dikasihi penduduk langit."

Kepada mereka yang derhaka kita patut melihat dengan penuh kasihan belas sebab kesalahannya adalah kesusahan baginya.

Mereka perlu didekati untuk ditegur dengan baik bukannya kasar supaya penderhaka itu diselamatkan daripada murka Allah.

Golongan yang pengasih bersifat seperti di bawah ini:

• Di mana ada benci, biar kita yang membalas dengan sayang.

• Di mana ada hati yang terluka, di situ kita yang menjadi penghiburnya.

• Di mana ada keraguan, di situ kita yang meyakinkan.

• Di mana ada putus asa, di situ kita menebarkan harapan.

• Di mana ada kesedihan, di situ kitalah yang berkongsi bahagia.

• Di mana ada kegelapan, di situlah kita yang membawa cahaya.

Selagi kita mahu membantu dan mengasihi kita, selagi itu kita mendapat 'geran' kekayaan daripada Allah yang Maha Mengasihi.

Tentang “Dia” 3

Hari ini Dia telah mendapat gajinya yang pertama. Dia berhasrat untuk membelikan hadiah buat emak, ayah dan adik-adiknya. Dia berasa cukup gembira walaupun gajinya tidak seberapa namun telah dapat memenuhi hasratnya. Beberapa hari kemudian, Dia jatuh sakit dan selama itu dia tidak bekerja. Dua minggu selepas itu, Dia kembali semula bekerja. Selama Dia tidak datang kerja ramai pelanggan yang mencarinya. Semua pelanggan berpuas hati berurusan dengan Dia kerana Dia seorang yang ceria dan peramah. Namun bukan semua orang akan suka pada kita begitu juga dengan Dia, ada juga yang sakit hati dan dengki dengan Dia sampai ada yang menabur fitnah kepada Dia dimana Dia dikatakan melayan pelanggan dengan kasar serta mencuri tulang ketika bekerja. Dia sungguh beruntung kerana ibu majikannya tidak percaya dengan cerita tersebut, dan akhirnya kebenaran terbukti jua dengan menunjukkan Dia tidak berbuat seperti yang diperkatakan. Selepas kejadian itu, Dia makin disenangi oleh semua orang, lebih-lebih lagi oleh ibu majikannya.....

Kisah Pengemis Dengan Isteri Cun

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan. Diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. "Tolonglah Encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain. Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Suami yang baru itu menjawab dengan tenang: "Demi ALLAH, akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu .

Rasulullah SAW bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70 ribu kejahatan''.

Anas Malik pula meriwayatkan bahawa NABI MUHAMMAD SAW ada bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya".

p/s: CERITA INI MEMBERI PENGAJARAN BAHAWA HIDUP KITA SEPERTI PUTARAN RODA DAN TIDAK SELALUNYA KITA BERADA DI ATAS. ADA MASA DAN KETIKANYA KITA AKAN TURUN PULA KE BAWAH.

Wednesday, July 1, 2009

Asal Perkataan Ubat...

Semasa Melaka dijajah Portugis, Hang Nadim telah bekerja sebagai penjaga kaunter klinik untuk askar-askar Portugis. Pada hari pertama dia bekerja tidaklah tahu dia apakah yang perlu di sebut di deretan botol-botol di rak almari. Dia pun bertanya kepada Doktor yang bertugas. "Sir, air dalam botol-botol ni saya nak panggil apa?" tanya Hang Nadim. Semasa Hang Nadim bertanya, doktor omputih itu tengah membuka sebuah botol lama untuk mengenalpasti apa isi kandungannya. Lalu terkeluarlah bau-bauan yang busuk dan membuatkan doktor omputih tu berkata " Uhhh... bad... ". Hang Nadim pun mengangguk sambil berkata "ooo..ubat".

Tentang “Dia” 2

Dia suka melihat gelagat dan kelakuan pelanggan-pelanggannya. Pelbagai kerenah yang perlu dia atasi demi memenuhi keperluan dan kehendak setiap pelanggannya. Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada kakitangan awam seperti guru dan kerani juga pelajar-pelajar sekolah. Kadangkala dia perlu bertemu dangan pelanggan yang sama setiap hari. Mungkin dari situ ada yang meminati Dia, namun Dia hanya membiarkannya sahaja. Bohong jika dikatakan Dia tidak suka kerana ada yang meminatinya namun dia mendiamkan diri sahaja. Sampailah satu hari ada seorang guru yang dilabelkan Dia sebagai Mr. K bertanyakan kepada Dia, samaada dia sudah ada yang punya atau belum. Dia tidak mahu menjawab soalan itu dan membiarkannya. Hari demi hari Mr. K terus mendesaknya, lama-kelamaan Dia mula bosan dan dia memberi jawapan kepada Mr.K yang dia hanya mahu berkawan tidak lebih dari itu. Selepas kejadian itu, sikap Mr.K semakin pelik dan dingin. Tiada lagi kedengaran senyum dan tawanya yang tinggal hanyalah sunyi sepi sahaja.....